Sabtu, 25 April 2009

Tiflun Saghir..


Tiflun Saghirwww.iluvislam.combintu_idris
editor : IskethaykaL

Setelah mendapatkan beberapa buku yang aku inginkan di kedai buku Daarut Tauzi', aku menaiki bas pulang ke rumah sewaku di Hay El Asher, kawasan paling banyak didiami oleh mahasiswa dari Asia Tenggara di bumi Anbiya’ ini. Ketika bas melewati pasar Sayyeda Zainab, semakin ramai penumpang menaiki bas. Ruangan dalam bas yang sedia sempit tambah berhawa dan merimaskan. Peluh yang bergeluyutan* di dahi segera kuseka dengan tuala kecil yang sentiasa kubawa dalam poket seluar.
Sebaik sahaja sampai di rumah aku meletakkan buku-buku yang kubeli di atas meja di ruang tamu dan meluru ke dapur. Peti sejuk kuselongkar. Mujur laban* pemberian Ammu* Hassan semalam masih berbaki. Pantas kuteguk habis. Ammu Hassan seorang peniaga di kawasan tempat aku menetap. Lelaki berjanggut lebat dan berbadan gempal itu peramah amat. Sesiapa sahaja pasti menyenanginya apabila bergaul dengannya. Satu kebiasaan orang Arab yang kuperasan, mereka cukup teruja dengan orang yang berkebolehan mempercantik dan memperelokkan bacaan Quran atau dalam bahasa mudahnya orang yang punya suara yang merdu. Entah daripada siapa Ammu Hassan mengetahui aku miliki kurniaan Allah yang satu itu. Mungkin teman-teman serumahku yang mengkhabarkan kepadanya. Kebetulan, kami sendiri agak rapat dengan lelaki kelahiran Kaherah itu. Setiap kali aku berkunjung ke kedainya, dia akan meminta aku membacakan beberapa potong ayat Al-Quran. Apabila permintaannya kupenuhi, dia memberi kepadaku laban atau Tha’miyah bil Baidh* sebagai upah. Kadang–kala diberinya a’sir a’sob*. Aku baru sahaja beberapa hari tiba di Mesir setelas pulang bercuti di tanah air. Teman-teman serumahku lain belum pulang lagi kecuali Hadi dan Khairul. Entah ke mana dua rafik*ku itu pergi. Sejak pulang tadi, kelibat mereka langsung tidak kelihatan. Aku menghenyakkan tubuh di atas katil. Lebih kurang setengah jam lagi waktu Asar akan menjelang. Cadangnya, aku mahu melelapkan mata seketika buat menghilangkan penat yang menghinggapi tubuhku. Namun, mataku tidak mahu pejam. Ingatanku melayang kembali ke kampung halaman dan singgah pada wajah kanak-kanak bermata bundar itu . Wajahnya memenuhi segenap jihat ingatanku. Ya, Tiflun Saghir itu!
~~~ @>>-----<<@ ~~~
“ Mengapa adik bersendiri di sini? Mengapa tidak bermain bersama-sama kawan–kawan lain? Mereka pulaukan adik ke? ” Bertalu-talu aku menyoal seorang budak yang kukira berusia dalam lingkungan tujuh tahun. Dia kulihat duduk memeluk lutut sambil menekur bumi tidak jauh dari sekumpulan kanak-kanak yang sedang asyik bermain galah panjang. Bagai ada suatu tarikan mendorong aku menghampiri kanak-kanak berwajah bening itu. Aku membatalkan niat untuk berjalan-jalan di persisiran pantai sebaliknya melabuhkan punggung tidak jauh darinya. Tidak semena-mena, butiran-butiran jernih menitis di pipi munggilnya. Aku kaget. “ Mengapa ni? ”Tangisannya kian lebat. Aku mengusap lembut belakang tubuhnya dalam usaha memujuk.“ Abang, Adi takut, ” sedu sedan kedengaran di hujung suaranya. “ Apa yang kamu takutkan? ” lurah-lurah halus terukir di dahiku. Rasa bertembung dua keningku bagai bersatu. “ Adi teringatkan firman Allah kepada orang-orang beriman supaya menjaga diri dan ahli keluarga mereka daripada bahang neraka. Adi takut dibakar dalam neraka,” aku terlopong. Mataku sedikit terbelalak. Atma*ku diserbu mancarasa. Kagum bersulam gerun. “ Sudah jangan menangis lagi. Kamu masih kanak-kanak. Masih belum akil baligh. Allah tidak akan menghumban kamu ke dalam neraka,” sambil mengesat air matanya, budak yang membahasakan dirinya Adi itu mendongakkan kepala memandang tepat ke wajahku. Fikirku, dia telah berjaya kupujuk.“ Abang pernah melihat orang hidupkan unggun api? Yang pertama sekali mereka akan letak ialah ranting-ranting kayu yang kecil . Setelah api marak, barulah kayu-kayu atau dahan yang lebih besar dicampakkan. Sudah tentu kanak-kanak seperti Adi dahulu dihumban dalam neraka sebelum dibakar orang dewasa.”Subhanallah! Berkali-kali kalimah itu mercup* di tubir bibirku. Aku tidak menjangkakan kanak-kanak sepertinya mampu berfikir sejauh itu. Aku terpempan. Dengan esakan masih berbaki di hujung suara budak itu mohon diri pulang ke rumah meninggalkan aku dalam keadaan teruja. Melalui beberapa kenalan, aku mendapat tahu Adi telah menghafal 30 juzuk Al-Quran. Malah mereka turut mendakwa Adi boleh bercakap dalam beberapa bahasa yang pelik sehingga dia dianggap sebagai budak ajaib. Pernah suatu ketika, Adi berkejar ke pantai menghalang para nelayan turun ke laut. Katanya laut bakal bergelora dan angin bakal menggila sedang ketika itu bukan musim tengkujuh. Amarannya dipandang sebagai gurauan anak kecil. Akhirnya, perkara yang dikhabarkan Adi benar-benar berlaku. Kumpulan nelayan yang turun ke laut terperangkap dalam ribut yang entah datang dari mana. Alhamdulillah , mujur tiada yang terkorban.“ Adi mahu jadi apa bila besar nanti? ” Aku mengecilkan langkah kaki. Kasihan pula aku melihat Adi terpaksa berlari-lari anak mengejar langkahku. Angin petang berpuput mesra. Aroma air laut menerawang menerobosi indera bauku. “ Adi mahu cipta satu satelit yang nenggunakan Al-Quran sebagai kata laluan. Nanti umat Islam dari seluruh dunia dapat berhubung sekaligus bersatu kembali. Setelah umat Islam bersatu, tiada sesiapa lagi yang berani memperlekehkan umat Islam. Malah, saat itu kita dapat mengulangi sejarah kegemilangan tamadun Islam yang pernah kita kecap sebelum jatuhnya empayar agung Utmaniyyah pada tahun 1924. Salahuddin al-Ayubbi ke-2 akan muncul untuk membebaskan kota suci Baitulmaqdis dan Adi berharap Adilah Salahduddin itu,” bicara Adi petah. Rasa kagumku kepada anak kecil ini kian menebal. Aku yang menyandang gelaran mahasisiwa Al-Azhar ini pun tidak pernah menyimpan visi dan misi hidup seperti Adi. Aku malu sendiri. Adi mengingatkan aku pada suatu kisah yang berlaku kepada Amirul Mukminin, Umar Abdul Aziz. Sewaktu awal pemerintahan Umar bin Abdul Aziz, telah datang berbagai-bagai rombongan dari seluruh pelusuk negara untuk menyatakan taat setia kepadanya. Satu rombongan dari Hijaz tiba, dan seorang kanak-kanak yang baru berusia 11 tahun tampil ke hadapan untuk bercakap. Umar Abdul Aziz meminta kanak-kanak itu berundur dan memberi laluan kepada orang yang lebih dewasa untuk berbicara. Budak itu menjawab sopan dengan berani. “Semoga Allah kekalkan pemerintahan Amirul Mukminin! Sebenarnya manusia itu dinilai dengan dua yang paling kecil pada dirinya, iaitu hati dan lidahnya. Jika Allah mengurniakan padanya lidah yang petah, hati yang kuat ingatan, maka sudah tentulah dia yang berhak bercakap. Wahai Amirul Mukminin, sekiranya semua perkara diukur dengan umur, nescaya di kalangan umat ini ada orang yang lebih berhak daripadamu untuk memegang jawatan Khalifah. ”Umar Abdul Aziz tergamam dengan jawapan anak kecil itu sebagaimana aku terpana mendengar kasad* murni Adi.“ Mak cik, Pak Cik, Adi anugerah Allah yang istimewa. MaK Cik dan Pak Cik harus membantu Adi mengembangkan bakat yang dimiliki. Mungkin Pak Cik dan Mak Cik boleh bawa Adi ke ibu negara untuk mencari satu program yang boleh menyokong tahap perkembangan otaknya.” Berkerut-kerut wajah kedua-dua orang tua Adi. Aku tahu mereka tidak begitu mengerti maksudku. Aku tidak mengalah. Cutiku yang berbaki kuhabiskan ke sana ke mari untuk membantu Adi menempatkan diri di institusi yang layak untuk dirinya. Aku rasa bertanggungjawab membantu Adi. Anak kecil luar biasa sepertinya perlu ditatang dan dijaga rapi. Jika umat Islam sendiri tidak menghargainya, dikhuatiri nanti pihak Barat yang mengambil peluang mendidik anak-anak genius ini untuk menjahanamkan Islam. Siapa yang tidak kenal dengan Sukarno, antara pemidato terhebat dunia. Sukarno, dengan idea NASAKOMnya adalah anak genius Islam yang berjaya dilatih oleh Belanda untuk menghancurkan Islam. Begitu juga yang terjadi kepada Babrak Karmal, anak didik Rusia. Di bidang penulisan pula, musuh-musuh Islam telah dapat menyiapkan Hussien Heikal dan Naquib Mahfouz sebagai pedang untuk menikam Islam melalui mata pena. Aku tidak mahu Adi menerima nasib yang serupa dengan mereka. Adi antara benih berharga dalam rangka menjana kebangkitan Islam kali kedua. Kebangkitan Islam di zaman Rasulullah SAW dahulu juga didokong oleh mukmin yang genius seperti Zaid bin Tsabit, Abu Hurairah, Abdul Rahman bin Auf, Salman Al Farisi, Umar Al-Khattab dan Ali bin Abi Thalib. “ Bila abang akan balik ke kampung lagi? ” Sehari sebelum aku berangkat meninggalkan tanah air, Adi datang menemuiku.“ Entahlah Adi. Abang tak berani janji bila abang akan pulang lagi. Mungkin dua tahun lagi. Mungkin selepas tamat mengaji.” “ Abang, Adi berpesan buat diri abang dan diri Adi sendiri dengan wasiat yang diberikan oleh Sayyid Qutb kepada adiknya, Aminah Qutb. Abang, apabila kita hidup hanya untuk diri kita, maka hidup kita amatlah singkat. Bermula dengan bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas ini. Tetapi, jika kita hidup kerana fikrah untuk menegakkan Deenul Islam di atas muka bumi ini, sesungguhnya hidup kita akan lebih panjang dan bermakna. Bermula dengan bermulanya manusia dan berakhir dengan pupusnya manusia di atas muka bumi Allah ini.”Empangan air mata yang kutahan akhirnya pecah jua mendengar nasihat Adi, anak kecil yang lebih sedekad muda dariku. Aku peluk tubuh Adi kejap.
~~~ @>>-----<<@ ~~~
“ Saif, mahu a’sir a’sob tak? ” Kepala Khairul tersembul di muka pintu. Serta merta kenangan bersama Adi pecah berkecai dan tenggelam bersama gelengan kepalaku. Aku kelih* jam di dinding. Tidak lama lagi azan Asar akan berkumandang. Selepas solat aku mahu segera bersiap menuju ke Masjid Uthman Ibn Affan di Heliopolis. Malam ini akan diadakan kuliah Syeikh Yusuf Al-Qardhawi di Darul Munasabat masjid itu. Dalam hati , aku berdoa Adi akan berjaya menggapai cita-citanya. Sungguh, Adi adalah anugerah Allah buat umat Islam dan aku bersyukur kerana Allah pertemukan aku dengan Tiflun Saghir itu.


Artikel ini diambil daripada nukilan blog Siti Munirah bt Abdul Rashid di http://www.qamarmuneera.blogspot.com
Nukilan editor : Isu kegelisahan akan kemampuan sistem pendidikan di Malaysia dan sistem upaya masyarakat Malaysia menampung keberadaan kanak-kanak genius seperti watak Adi di atas juga turut dicoretkan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di blognya yang boleh dicapai di sini
GLOSARI Bahasa MelayuBergeluyutan - turun/memercikAtma - hatiMercup - terucap Kasad - niatKelih - tengokBahasa ArabLaban - susuAmmu - pak cik Tha’miyah bil Baidh - masakan khas mesir berbentuk sandwich isinya antara lain sayur, kentang goreng, telur rebus yang dihancurkan dan campuran kacang hijauA’sir a’sob - jus tebuTiflun saghir - anak kecil/kanak-kanak Rafik - teman/kawan

0 comments: